~ Rahsia Ucapan Ahli Syurga Terbongkar !


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ





السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

“ Kesejahteraan keatas kamu beserta Rahmat dan Keberkatan daripada Allah ”

وعليكم السلام ورحمة الله و بركاته

“ Dan keatas kamu juga kesejahteraan, Rahmat serta keberkatan daripada Allah ”

Allahuakbar.. Sungguh indah ungkapan salam itu.
Ayatnya tersusun kemas, mudah difahami dan penuh bermakna.


Cuba anda ulang ucapan salam tersebut. Baca semula secara perlahan-lahan serta hayati makna yang terkandung didalamnya. 
Bagaimana? Apa yang anda perasan? 
Adakah ungkapan itu biasa-biasa saja?


Sudah semestinya tidak.. 
Perkataan salam seperti di atas sememangnya biasa kita dengar, namun.. sedarlah bahawa pengaruhnya sangat luar biasa.


“Ungkapan salam yang lahir dari hati orang mukmin itu umpama tali yang bakal mengikat hati-hati orang mukmin yang lain untuk berkasih sayang di bawah lembayung rahmatNya yang penuh dengan kesejahteraan dan keberkatan.”


Begitulah.. 
Bukankah ungkapan itu merupakan salah satu daripada doa ?
Ya.. Itulah doa yang diajarkan dalam Islam kepada penganutnya ketika memulakan bicara atau bertemu antara satu sama lain, tidak kira kenal atau tidak.


Daripada ‘Abdullah Bin ‘Umar (radiyallahu ‘anhu),
bahawa seorang lelaki pernah bertanya kepada 
Nabi (sallallahu ‘alaihi wa sallam) ;
“Apakah amalan daripada ajaran Islam yang paling baik?”
Jawab baginda ; “memberi makan makanan serta mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenali dan tidak kamu kenali.” [Riwayat Bukhari & Muslim]


Alhamdulillah.. lihatlah betapa indahnya Islam.. 
Kita dididik agar selalu mendoakan kesejahteraan orang lain dan mengharapkan agar Rahmat dan keberkatan daripada Allah dilimpahkan ke atas kita semua.


Islam penyebar salam buat sekalian alam !


Ucapan salam umat Islam ada yang bermasalah. 


Wahai sahabat-sahabatku..
Bagaimana ungkapan salam anda ?


Adakah anda sudah terbiasa menyebut ;


“Semekom!!!” atau “Mekooom!!” atau “telekom!! Ops, hehee”


Apa maksud perkataan itu ? Tidak ada maksud bukan ? 
Lalu mengapa dibiarkan mulut kita mengeluarkan 
kata-kata yang sia-sia ?
Sungguh rugi kita. Kita kehilangan pahala memberi salam.


Oleh itu, mari kita berubah sekarang. Jangan bertangguh lagi.
Ringan-ringankanlah bibir kita mengungkapkan perkataan salam dengan betul dan sempurna.
Tukar perkataan yang salah itu dengan perkataan di bawah;


السلام عليكم
“Kesejahteraan keatas kamu”

Atau..

السلام عليكم ورحمة الله
“Kesejahteraan keatas kamu beserta Rahmat daripada Allah”

Atau..

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
“Kesejahteraan keatas kamu beserta Rahmat dan keberkatan daripada Allah”

Pilihlah ikut suka iman anda, bukan ikut suka hati anda. Semua dibolehkan..Lagi panjang, lagi afdol (terbaik). Hehee..
Apa yang paling penting, kita faham apa yang kita sebut.


Tentu anda pernah mendengar burung kakak tua yang pintar menyebut “Assalamu’alaikum” bukan?
Agak-agak burung itu faham atau tidak akan apa yang ia sebut?
Sudah pasti tidak!!


Adakah anda seperti burung kakak tua ? mengucapkan salam tanpa mengerti maknanya?


Sahabat-sahabatku, kita bukan haiwan. kita manusia ! kita diberi akal untuk bertindak mencari keredhaan Allah. Maka, ungkapkanlah salam dalam keadaan kita sedar akan maksudnya yang sebenar agar ia menjadi doa kesejahteraan buat semua.


Mudahnya, jangan beri salam melalui bibir sahaja, tetapi biarlah ungkapan itu terbit daripada hati nurani yang betul-betul mengharapkan kebahagiaan dan Rahmat-Nya.


Tidak susah bukan?


Salam ucapan Syurga.




Ketahuilah bahawa ungkapan salam itu bukan sahaja diajarkan untuk diamalkan di dunia ini, malah bakal menjadi perkataan terbaik dan terindah di dalam Syurga nanti. 


Allah sendiri yang maklumkan dalam Al-Quran.


لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْواً وَلَا تَأْثِيماً
إِلَّا قِيلاً سَلَاماً سَلَاماً

Mereka (penghuni syurga) tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa,akan tetapi mereka mendengar ucapan salam.[56:25-26]

لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْواً إِلَّا سَلَاماً وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيّاً

Mereka (penghuni syurga) tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezekinya di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang.
[19:62]

سَلَامٌ قَوْلاً مِن رَّبٍّ رَّحِيمٍ

(Kepada penghuni syurga dikatakan): "Salam", sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.
[36:58]

Sahabat-sahabatku, mari kita biasakan ungkapan salam ini.
Sebarkanlah salam dengan mengharapkan agar Allah redha dan melayakkan kita menyebutnya semula di Syurga nanti.. amin.. 


Perkenankanlah ya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan