Dosa Buruk Sangka Pada Allah

Berburuk sangka kepada Allah termasuk dosa-dosa besar. Ini bukan kata-kata saya, tetapi kata-kata Al-Imam Ibnul Qayyim r.h. di dalam kitabnya, Ad-Daa' wa Ad-Dawaa'.  Beliau menyebut: "Alasannya adalah, orang yang berburuk sangka kepada Allah telah melakukan persangkaan yang berseberangan dengan kesempurnaan-Nya yang suci."


Subhan-Allah. Tidak sekali-kali kami sanggup melakukan demikian! Wa'iyadzubillah.

Firman Allah ta'ala tentang sangkaan orang yang mengingkari sifat-Nya yang Maha Mengetahui:

"Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang telah kamu sangka terhadap Tuhan kamu, prasangka itu telah membinasakan kamu, maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang rugi." (Fussilat: 23)

Pengajarannya, sangka buruk kepada Allah bukan saja dalam bentuk memikirkan yang buruk-buruk tentang Allah. Tetapi, ia turut merangkumi sangkaan dalam menafikan nama-nama dan sifat-sifat Allah.

Apa yang dapat saya simpulkan daripada huraian Al-imam Ibnul Qayyim r.h. tentang hal ini ialah, telah salah seorang hamba untuk berburuk sangka kepada Allah sedangkan telah maklum kesempurnaan-Nya menurut nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Bagaimana kita boleh menyangka Allah tidak akan mengampuni kita sedangkan Allah ta'ala telah berfirman:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri, janganlah berputus daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani." (Az-Zumar: 39)

Bagaimana boleh kita menganggap Allah sengaja menzalimi kita dengan pelbagai kesusahan hidup, sedangkan Allah ta'ala berfirman:

"..Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Ku." (Qaf: 29)

Walau apa jua tanggapan negatif yang bermain dalam fikiran tentang Allah, usahlah dilayan. Itu berasal daripada syaitan.

Bersangka baik kepada Allah merupakan satu bentuk zikir kepada-Nya. Setiap yang berlaku di dunia, sama ada buruk atau baik, pasti ada hikmahnya untuk kita. Mana mungkin kita dapat menyelami hikmah sedangkan fikiran dinodai dengan sangkaan buruk terhadap Allah. Nauzubillah min dzalik.

Dalam sebuah hadith Qudsi, Allah ta'ala berfirman:

"Aku adalah menurut persangkaan hamba-hamba-Ku, dan Aku bersama-sama mereka apabila mereka mengingati-Ku." (HR Muslim)

Jika kita bersangka baik terhadap Allah tentang sesuatu masalah yang dihadapi, maka itulah sangkaan Allah yang sebetulnya, atau lebih baik daripada itu. Usah berfikir kenapa Allah mentakdirkan sesuatu, tetapi fikirkan apa yang patut dilakukan bagi menghadapinya. Jangan juga berfikir bahawa bersangka baik terhadap Allah adalah alasan untuk melakukan kemaksiatan, kerana pengiraan dosa dan pahala sentiasa berjalan sehingga kita dimatikan. Bersangka baiklah kepada Allah kerana di sebalik setiap kekhuatiran, pasti ada keindahan yang tersirat bagi diri yang mencintai Allah dengan setulusnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan